Impian terlaksana di awan biru.

JIKA sekali pandang pada susuk tubuhnya yang kecil dan kurus, pasti ramai menganggap gadis ini masih di bangku persekolahan
JIKA sekali pandang pada susuk tubuhnya yang kecil dan kurus, pasti ramai menganggap gadis ini masih di bangku persekolahan.
Tetapi, di sebalik raut wajah lembut itu, Noor Hafizah Mohd Idrus, 25, sebenarnya sudah memiliki kerjaya yang jarang
sekali diceburi wanita.
Anak gadis kebanggaan pasangan Mohd Idrus Abdul Hamid (Pengetua Sekolah Menengah Sains Alam Shah)
dan Rohaya Kassim (jurutera Telekom Malaysia)
kini adalah salah seorang daripada 17 juruterbang
wanita di syarikat penerbangan tambang murah
terbaik dunia, AirAsia.
Sejak kecil, Noor Hafizah sudah memasang
impian untuk membawa pesawat di awan biru
dan bersyukur kepada Allah s.w.t yang
mengabulkan doanya selama ini.
Bekas pelajar Kolej Tunku Kurshiah ini berkata,
selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia dan mengikuti
program matrikulasi sains, ibunya ada menyatakan
harapan untuk melihat anak perempuannya itu
menceburi dunia perubatan
Tetapi selepas tamat program matrikulasi,
Noor Hafizah ditawarkan mengikuti kursus
multimedia di Universiti Kebangsaan Malaysia,
jauh menyimpang daripada impian ibunya.
Bagaimanapun, anak kedua daripada enam
beradik ini berkata, dia hanya mengikuti
kursus berkenaan selama setahun lebih
sebelum mengemukakan permohonan menyertai
program kadet juruterbang bersama AirAsia.
Ketika hendak menghantar borang permohonan
itu pula, keluarga membantah kerana bimbang
apa yang dikejar tidak dapat, yang dikendong
berciciran tetapi selepas dia mendapat tawaran,
mereka berubah dan kini menjadi pendorong
utamanya.
"Keluarga dengan rela hati menghantar saya
untuk mengikuti kursus latihan di Akademi
Penerbangan Malaysia, Batu Berendam,
Melaka selama setahun setengah.
"Saya masih ingat pesan ibu dan ayah sebelum
mereka berangkat pulang iaitu supaya tekun
belajar serta jangan hampakan mereka.
"Alhamdulillah, biarpun hanya dua wanita saja
dalam pengambilan berkenaan, saya lulus
dengan baik. Sebaik saja tamat latihan,
saya terus menyertai AirAsia sehingga kini," katanya.
Alah bisa tegal biasa, menurut Noor Hafizah,
dia sebenarnya memang gayat jika berada di
tempat tinggi tetapi entah kenapa, apabila
menerbangkan pesawat, perasaan itu hilang
dengan sendiri.
"Penerbangan pertama saya bersama syarikat
ini ialah pada pertengahan 2006 ke Kuching,
Sarawak iaitu selama satu jam 45 minit.
"Ketika itu perasaan seronok dan gementar
bercampur baur kerana gembira impian sejak
kecil menjadi kenyataan. Syukur, berkat
persediaan yang sebaiknya, penerbangan
itu berjalan lancar dan saya mampu melepasinya
dengan baik," katanya.
Menurut Noor Hafizah lagi, setakat ini, dia tidak
pernah berdepan dengan sebarang pengalaman
buruk ketika bertugas.
Jika cuaca tidak mengizinkan untuk mendarat
di sesuatu lapangan, dia akan berbincang
dengan kapten juruterbang dan menara kawalan
untuk menentukan destinasi berikutnya.
Sebelum berlepas, juruterbang dan pembantu
juruterbang perlu terlebih dulu mengira berat
keseluruhan pesawat (termasuk penumpang dan bagasi)
untuk memastikan tahap kelajuan yang sesuai.
"Untuk menjadi juruterbang, apa yang penting ialah
ketajaman penglihatan serta penguasaan dalam bidang fizik, matematik dan bahasa Inggeris.
"Namun, bukan mudah menjadi juruterbang yang
bagus kerana ia memerlukan kombinasi latihan
berterusan serta pengalaman. Tempoh tiga tahun
sebenarnya masih dianggap baru dan saya kini
masih dalam proses menimba sebanyak mana
pengalaman daripada kapten juruterbang yang
lebih senior.
"Untuk itu, saya menjadikan kapten juruterbang
wanita pertama AirAsia, Norashikin Che Onn,
sebagai idola dan berharap dapat berjaya sepertinya
suatu hari nanti," katanya yang turut mengagumi
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan,
Datuk Seri Tony Fernandez.
Sesuai dengan umurnya yang masih
bergelar remaja, Noor Hafizah berkata dia
gemar menghabiskan masa lapang dengan
membeli-belah bersama rakan dan keluarga.
Dia mengakui membeli-belah adalah terapi
terbaik untuk menghilangkan tekanan dan
barangan yang sering menjadi pilihan ialah
kasut serta beg tangan.
Dia tidak mengutamakan jenama kerana apa
yang penting baginya adalah kualiti dan tidak
salah sesekali membeli sesuatu untuk
dihadiahkan kepada diri sendiri selepas
penat bekerja.
Jika mempunyai cuti panjang, Noor Hafizah biasanya
akan meluangkan masa melancong sama ada
di dalam atau luar negeri bersama keluarga atau
rakan rapat.
"Jadual kerja sebagai juruterbang memang tidak
menentu tetapi kami hanya dibenarkan
bekerja 100 jam saja dalam tempoh 28 hari.
"Jika terbabit dalam penerbangan di awal pagi,
saya biasanya selesai kerja dan pulang ke rumah
sekitar jam 3 atau 4 petang. Untuk sesuatu penerbangan,
kami biasanya perlu melaporkan kehadiran
sekurang-kurangnya 45 minit sebelum waktu berlepas.
"Waktu terluang yang ada itulah saya gunakan untuk
mengemas rumah atau melakukan persediaan
penerbangan seterusnya," katanya yang mengakui perlu
bersiap tiga jam awal sebelum sesuatu penerbangan.
Pesan Noor Hafizah, bagi remaja yang mempunyai
cita-cita untuk bergelar juruterbang sepertinya,
teruskan impian dan berusaha gigih.
"Setiap kerjaya mempunyai cabarannya sendiri
dan tidak terkecuali jika menjadi juruterbang namun
apa yang penting, seseorang perlu mempunyai
minat mendalam dan buangkan sikap takut untuk
mencuba.
"Jangan sesekali putus asa dalam berusaha mencari
yang terbaik untuk hidup kerana masa depan terletak
di tangan sendiri," katanya menutup perbualan.
Profil
Nama: Noor Hafizah Mohd Idrus
Ibu: Rohaya Kassim
Bapa: Mohd Idrus Abdul Hamid
Adik beradik: Anak kedua daripada enam beradik
Pendidikan: Kolej Tunku Kurshiah,
Kolej Matrikulasi Melaka,
Universiti Kebangsaan Malaysia dan
Akademi Penerbangan Malaysia
Kerjaya kini: Pembantu Juruterbang Air Asia

No comments:
Post a Comment